Thursday, August 21, 2014

BATU PUTIH : SATU ANALISIS

Sebab Penyerahan
Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih. Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api. Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, ia  menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut. Secara terang dan nyata ia bermaksud Pulau Batu Putih ialah milik Singapura. Oleh itu , mahkamah telah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih. Fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, Singapura boleh menuntut Pedra Branca. Walaupun ia dibantah oleh Malaysia dengan menyatakan bahawa Pemangku SUKJ tidak mempunyai kuasa terhadap surat tersebut, tetapi mahkamah telah bertindak disebaliknya. Mahkamah menerima hujahan Singapura bahawa berdasarkan isi kandung surat tersebut Johor telah menyerahkan kedaulatan dan pulau itu kepada British yang kemudiannya diwarisi oleh Singapura.
Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata. Perkara ini dapat dilihat melalui tindakan �tindakan yang diambil oleh Singapura. Antara tindakan yang telah dilakukan oleh Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.
Ini jelas memperlihatkan bahawa Malaysia, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850. Ia lebih menyerahkan tindakan tersebut kepada British yang kemudiannya diwarisi oleh pemerintahan Singapura hingga kini. Keadaan ini lebih jelas lagi apabila keputusan mahkamah memihak kepada Singapura yang didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih. "Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih. Inilah yang dinilai oleh ICJ iaitu unsur ketuanan dan kedaulatan yang ditunjukkan oleh Singapura dalam mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih .
ICJ juga melihat akan kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu. Kita harus memahami bahawa tanda kepada kedaulatan sesebuah negara antaranya ialah lambang kepada negara itu. Ini ditunjukkan dan dibuktikan oleh Singapura dengan pengibaran panji-panji British yang kemudiannya Singapura di pulau tersebut. ICJ membuat keputusan apabila sepanjang tempoh sebelum 1980 Malaysia tidak pernah membuat bantahan terhadap perlakuan British dan kemudiannya Singapura. Keputusan yang diambil oleh ICJ itu didokong oleh tindakan Malaysia sendiri. Ini dapat dijelaskan melalui tindakan Malaysia mencetak enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan 'Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih. Hal ini, menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan. Persoalannya adakah Malaysia cuai atau Malaysia mengakui Pulau Batu Putih memang hak Singapura.
Oeh yang demikian mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain oleh Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura. Yang penting Singapura telah berjaya membuktikan bahawa mereka ialah tuan dan bukannya Malaysia, walaupun asalnya Pulau Batu Putih itu milik Malaysia.

Kegagalan Malaysia
Kegagalan Malaysia untuk menunjukkan bahawa ia berkuasa mentadbir dan menjadi tuan di Batu Putih
            Tuan bermaksud orang lain perlu mendapatkan kebenaran setiap kali ia berurusan berkenaan harta dan kepunyaan dan kedaulatannya.Tuan boleh menghalang orang lain membuat sesuka hati tanah milikan tuan.Malaysia gagal sebagai tuan bagi menghalang aktiviti Singapura dalam wilayahnya sehinggakan ia menjadi penyokong kuat kepada surat SUKJ 1953. Malaysia tidak sepatutnya mendapatkan kebenaran Singapura untuk memasuki perairan Batu Putih, tetapi ia berlaku sebaliknya.
Maklumat berkenaan undang-undang tidak memihak Malaysia apabila ICJ menerima alasan Singapura yang Pemangku S/U Kerajaan Johor boleh menjadi wakil Sultan Johor dan menerima surat 1953.
Ikut sejarah banyak kali kedaulatan Sultan tidak dipatuhi seperti Perjanjian Sultan Hussin Shah dan Stamford Raffles. Sultan Hussin bukan Sultan Johor yang berdaulat kerana ia ditabalkan oleh Inggeris dan tidak mengikut adat istiadat pertabalan Melayu. Di Pahang Bendahara Wan Ahmad juga asalnya bukannya sultan tetapi keturunan Bendahara juga telah menandatangani perjanjian dengan Inggeris. Bendahara ialah pembesar empat Kerajaan Johor yang berpusat di Riau.  Perjanjian sementara antara Temenggung Abdul Rahman dengan Stamford Raffles (28 Januari 1819) tetap berkuatkuasa dan dipatuhi. Untuk mengesahkannya maka Sultan Hussin Shah dibawa ke Johor untuk ditabalkan dengan sokongan British. Maka berpecahlah empayar Johor kepada dua kuasa Eropah iaitu , satu dibawah kuasa British dan satu lagi dibawah kuasa Belanda. Sebab itu ICJ tidak memihak hujah Malaysia. Surat SUKJ 1953 ialah surat yang paling terkini dan menyebabkan lain-lain surat dan perjanjian sebelumnya tidak begitu berfungsi dalam kuatkuasa undang-undang. Jika ia berfungsi sudah tentu Singapura gagal menggunakan hujah ini. Persoalan tentang siapa yang berkuasa menanda tangani tidak menjadi persoalan oleh ICJ, tetapi yang menjadi persoalan ialah jawapan yang jelas, terang dan nyata. Walaupun pada Malaysia ia satu bentuk kesilapan pentadbiran , malangnya selepas surat itu ditulis tidak ada bantahan Johor tentang kegagalan Pemangku SUKJ untuk mendapatkan kepastian dan titah daripada Sultan Johor. Mengapakah Pemangku SUKJ memberikan jawapan itu, hanya beliau sahajalah yang tahu. Yang pasti hujah itu digunakan dengan sebaiknya oleh Singapura sehingga menyakinkan ICJ untuk berpihak kepada Singapura dalam tuntutan Pulau Batu Putih. Sebab itu ICJ menyatakan bahawa Johor sedia maklum bahawa pada 1953 , Pulau Batu Putih ialah milik British dan kemudiannya Singapura.
Kesilapan Malaysia dalam mempamerkan peta sebelum 1979 yang mengakui Batu Putih adalah milik Singapura. Peta 1962 hingga 1975.
Sepatutnya semasa Singapura berada dalam Malaysia kerajaan Malaysia sepatutnya telah mempamerkan bahawa Batu Putih adalah milik Johor.Ini adalah peluang yang paling baik untuk mengurangkan bantahan Singapura kerana ia sebahagian daripada Malaysia pada waktu itu. Adakah selama ini Malaysia memang mengakui Batu Putih memang milik Singapura? Dan ia dituntut kerana kawasan nelayan tradisi dihalang oleh pasukan keselamatan Singapura!! Adakah ia satu isu politik? Apapun yang berlaku kini Pulau Batu Putih adalah milik Singapura. Kenapa ? Ia gara-gara kesilapan kita yang bertahun telah mempamerkan kepada dunia bahawa dalam peta kita, kita akui bahawa Pulau Batu Putih ialah milik orang lain. Kenapa kita menyatakan begitu. Kenapa hanya selepas 1979 baru kita hendak perbetulkan kesilapan yang kita buat. Kenapa sehingga enam peta?. Inilah hakikat yang dibuat oleh ICJ yang kemudiannya memperlihatkan bahawa Malaysia memang sedia maklmum bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor dan Malaysia. Inilah harga kecuaian kita. Sejarah tetap sejarah. Peta yang dipamerkan ialah sumber bagi sejarah. Ia sumber pertama yang tidak boleh diketepikan dalam mencari jawapan tentang persoalan sejarah. Maka peta yang kita sendiri membuatnya telah menikam kita. Kita gagal mempertahankan kenapa ada perkataan Singapura pada titik koordinasi Pulau batu Putih. Inilah persoalan dan pegangan  ICJ yang membuktikan bahawa Malaysia mengakui Pulau batu Putih itu memang milik Singapura.

Malaysia membiarkan Singapura menggunakan wilayah yang dikatakan haknya dalam menentukan hala tuju perkembangan dan keselamatan perairan, udara, dan pelayaran kapal.
Malaysia sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh setiap perkara yang berlaku seperti pelanggaran kapal dan bukan menyerahkan kepada jirannya untuk menjalankan penyiasatan. Jika Malaysia perlukan bantuan ia sepatutnya mengutuskan surat bagi  mendapatkan bantuan dan membenarkan Singapura untuk membantu dan bukannya membiarkan Singapura bertindak sendirian. Malaysia juga sepatutnya membantah dengan keras kerana pulau tersebut untuk rumah api sahaja bukannya untuk strategi ketenteraan. Malaysia gagal bantah pembinaan radar tentera dan penghantaran strategik ketenteraan sekitar pulau tersebut. Hujah Malaysia bahawa Singapura dibenarkan mentadbir rumah api tetapi Singapura telah bertindak lebih daripada itu tanpa bantahan keras Malaysia.
Kegagalan Malaysia menggunakan gambar yang diambil untuk menunjukkan jarak Batu Putih dengan perairan Malaysia.
Apabila dibantah Singapura dengan menunjukkan bandingan gambar yang diambil secara biasa menunjukkan Malaysia cuba mengkaburi ICJ dengan gambar yang menggunakan kuasa 7 kali zoom kamera. Mungkin ia menjejaskan kredibiliti hujahan Malaysia yang cuba mendapatkan simpati ICJ dan Malaysia menyatakan ia mengambil gambar itu dari sumber internet, tetapi tidak Singapura.
Malaysia gagal menghujahkan yang Singapura ialah pentadbir rumah api dan bukannya tuan di Batu Putih.
Ini berlaku kerana Malaysia tidak bertindak sebagai tuan dan mengenakan syarat  kepada Singapura seperti Singapura mengenakan syarat dan bertindak sebagai tuan di Batu Putih. Tidak seperti Pulau Pisang , Johor mengeluarkan gran tanah milikan masyarakat di pulau itu. Malaysia juga gagal mentafsirkan erti kawan dalam politik dengan membiarkan Singapura bertindak sendirian dan tidak pernah menyekat dengan andaian Singapura faham itu hak Malaysia, tetapi ia berlaku sebaliknya.Sebab itu, di Pulau Pisang kini, Malaysia meminta Singapura melaporkan kehadirannya di Pulau tersebut dan menghalang pasukan keselamatan Singapura mengawal perairan Pulau Pisang. Oleh sebab itu dalam penghakiman yang dibuat oleh ICJ mereka tidak melihat Singapura sebagai pentadbir rumah api sahaja , tetapi ia melihat Singapura sebagai pemilik kawasan Pulau Batu Putih. Sebab itu dalam kita menjadaikan diri kita tuan, kita perlu menunjukkan kedaulatan kita bukan kita mengikut atau menjadi pak turut kepada mana-mana kuasa. Inilah yang berlaku kepada kita. Kekuatan yang ada pada Singapura bukan kerana mereka bijak daripada kita tetapi bijaknya British dan ambil mudah pemimpin kita dalam menangani isu kedaulatan negara. Inilah kesempatan yang diambil oleh Singapura.

Kesan Keputuasan ICJ
Berdasarkan keputusan yang telah dibuat  oleh ICJ ia telah membawa satu lembaran baru dalam hubungan dua hala Malaysia � Singapura. Dalam keadaan ini kita boleh menilai bahawa akan wujud implikasi yang menguntung atau merugikan kedua-dua pihak. Bagi Malaysia sesuatu yang dianggap untung ialah nelayan-nelayan kita di Johor tidak lagi tertakluk kepada  rondaan tentera laut Singapura yang sebelum ini berkawal 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu. Walaupun masih tidak boleh mendekati Pulau Batu Putih namun nelayan dan semua rakyat Malaysia kini bebas ke Middle Rocks dan perairan sekitarnya. Dengan kata lain nelayan kita bebas mencari rezeki dan tidak lagi dihalang dan ditekan oleh pasukan keselamatan Singapura. Ini mencetuskan penambahan rezeki dan meningkatkan pendapatan nelayan Johor.
Walaupun begitu kita juga harus akui bahawa kita selama ini melakukan kecuaian sehingga menyebabkan pulau itu hilang secara rasminya. Mengapa ini berlaku? Ini adalah kerana sejak lebih 100 tahun telah mengabaikannya. Maka kini kita baru sedar dan mula hendak bertindak mempastikan pulau-pulau dinamakan dan dipantau. Kita mula hendak menandakan dan menunjukkan bahawa kita adalah tuan pada pulau-pulau yang kita abaikan. Inilah hikmah dan kesannya. Rupa-rupanya selama ini kita memang cuai dalam menjaga kedaulatan negara kita tetapi tidak Singapura.
Selain itu kita juga bebas menggunakan ruang udara, dasar laut, menjalankan pelbagai kajian serta meletakkan juga kapal peronda tentera laut sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kehadiran pasukan peronda di situ. Selama ini kita gagal dalam melaksanakan tanggungjawab kita. Kenapa? Ini disebabkan kita gagal menjadi tuan. Kita gagal menegakkan kedaulatan kita di perairan Batu Putih.
Begitu jugalah, keputusan yang ibuat ICJ juga telah menghapuskan  kebimbangan mengenai wujudnya satu lagi rejim maritim yang boleh menjejaskan sempadan serta bidang kuasa maritim sedia ada di antara negara ini dengan Indonesia . Melalui keputusan ini jelas apabila Middle Rocks kekal milik kita. Ini secara tiak langsung mengurangkan tekanan Indonesia untuk memiliki pulau itu. Harus juga diingat bahawa jarak Middle Rock dengan Indonesia lebih hampir daripada Malaysia.
Singapura yang telah memasang peralatan komunikasi  radar di Pulau Batu Putih mungkin terpaksa memikirkannya semula kerana ia memberi kesan kepada Middle Rocks yang kini telah disahkan tuannya.
Tindakan republik itu menjalankan kawalan 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu sejak tahun 1986 dengan hasrat untuk menjadikan wilayah di sekitar sebagai kawasan larangan kini terpaksa dihadkan kepada Pulau Batu Putih sahaja. , kita telah dapat mengehadkan keupayaan Singapura untuk bertindak secara bebas dalam kawasan itu termasuk menjalankan kerja-kerja menambak yang menjadi matlamat mereka.
Yang pasti Singapura kini tidak lagi bersendirian di Pulau Batu Putih. Republik itu kini mempunyai jiran yang amat rapat dan semestinya bagi menjaga kawasan kejiranan, Malaysia dan Singapura akan bertindak memakmurkan jiran dan bukannya menyakiti jiran.
Malaysia sepatutnya mulai mengambil langkah berhati-hati yang lebih ekstrem dalam apa juga perkara yang dilakukan bersama Singapura. Sebagai contoh, sebarang keputusan dalam Iskandar Malaysia mesti dilalui proses berhati-hati dan telus.
Kita sepatutnya berwaspada agar kita tidak memperlihatkan bahawa ia menjadi kesimpulan, sebagai contoh dalam 50 tahun justeru Malaysia dan Singapura mempunyai kedaulatan bersama dalam kawasan Iskandar Malaysia. Perkara itu mungkin nampak terlalu jauh, namun ia mungkin boleh berlaku jika perbincangan tertutup dan saluran pintu belakang dilakukan.
'Berdasarkan pengamatan dan kajian terhadap kedudukan South Ledge, Malaysia amat yakin akan memperoleh satu lagi bentuk maritim menjadikan aktiviti di perairan tersebut lebih luas. ICJ dalam keputusannya memutuskan bahawa kedudukan South Ledge hendaklah ditentukan menerusi rundingan antara Malaysia dan Singapura bagi menentukan di perairan negara mana ia terletak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.